Pada usia 33 tahun, anak muda ini
bagaikan memiliki segala-galanya. Perniagaan yang memberi pulangan jutaan
ringgit, bangunan sendiri sebagai pusat operasi perniagaan dengan kos pembelian
serta pengubahsuaian mencecah RM7 juta, memandu kereta Ferrari F360 Modena
bernilai RM1 juta dan mendiami banglo mewah bernilai RM 9 juta
TOKOH : DATUK WAN MOHAMMAD SANI SALLEH
Profil Tokoh :
Umur
: 35 tahun (24 Julai 1976)
Warganegara
: Malaysia
Adik
Beradik
: Keempat daripada enam beradik
Pendidikan
: Diploma Pengurusan Perniagaan Kolej Sunway (1994)
Jawatan
:
Pengarah
Urusan Sani United Sdn Bhd (Sani Express Sdn Bhd, Sani Properties Sdn Bhd dan
Sani Hotel Sdn Bhd).
Pencapaian
:
Dianugerahkan
Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan
Pahang, Sultan Ahmad Shah (Jun 2009) dan Anugerah Usahawan Cemerlang Dewan Perniagaan
Melayu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur (2009).
SIFAT TERPUJI DALAM DIRI TOKOH
Pada usia 33
tahun, anak muda ini bagaikan memiliki segala-galanya. Perniagaan yang memberi
pulangan jutaan ringgit, bangunan sendiri sebagai pusat operasi perniagaan
dengan kos pembelian serta pengubahsuaian mencecah RM7 juta, memandu kereta
Ferrari F360 Modena bernilai RM1 juta dan mendiami banglo mewah bernilai RM 9
juta.Memang selayaknya anak muda itu digelar jutawan, tetapi dalam pertemuan
baru-baru ini, beliau lebih gemar merendah diri dan mengatakan apa dimilikinya
hari ini adalah rezeki diberi Allah SWT.
“Saya berusaha
keras untuk capai kejayaan seperti hari ini. Namun, ketentuannya adalah
daripada Allah SWT,” kata anak muda itu.
Anak muda yang
dimaksudkan adalah Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (SUSB), Datuk Wan
Mohammad Sani Salleh, 33. Sejak tiga tahun lalu di sana-sini namanya sering
menjadi sebutan.Namanya harum kerana bas berwarna merah yang terukir namanya
sendiri. Siapa tidak pernah mendengar nama Sani Express.Destinasi ke ‘Pantai
Timur’ sudah ditawan dan kini semakin ligat meneroka destinasi ke Alor Setar di
utara.Lebih mengagumkan, bermula bulan ini 25 bas dimiliki, semuanya bas dua
tingkat yang tampak elegen dan semestinya menjanjikan keselesaan.Bagi Wan Mohd
Sani atau lebih mesra dengan panggilan Sani, apa dikecapinya hari ini di luar jangkaan,
malah tidak pernah diimpikannya. Beliau memulakan perniagaan atas dasar minat
dan mahu merubah kehidupannya ke tahap lebih baik.
“Biasalah… dulu
saya seperti ‘main-main’. Masuk industri hiburan, jadi model, penyanyi dan
pelakon sehingga lama kelamaan saya sedar sampai bila saya harus begitu.Ketika
itu hidup sekadar untuk cari makan dan hiburkan diri sendiri. Bukan saya kata
bidang hiburan tak menjanjikan kejayaan, tetapi biasanya sukar untuk cemerlang
dalam bidang itu,” katanya ketika ditemui di Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral,
Klang bersama rakan karibnya, Pengarah Urusan Federal Malay Holding Sdn Bhd,
Datuk Sharifuddin Musa.
Selama beberapa
tahun menceburi bidang hiburan, Sani mengakui tidak nampak masa depannya dalam
bidang itu.Rakannya sejak zaman kanak-kanak, Datuk Sharifuddin dijadikan
sebagai inspirasi selepas melihat rakannya berjaya dalam perniagaan.Melihat
rakan yang berjaya, terutama Datuk Din (Datuk Sharifuddin), saya berasa
ketinggalan. Dulu dia pernah bersama-sama saya menjadi model, tetapi dia
meninggalkan bidang itu terlebih dulu untuk berniaga sehingga berjaya.
“Pada masa sama
saya sedar, umur semakin meningkat dan yang boleh merubah keadaan saya ketika
itu hanya diri saya sendiri,” katanya yang pernah menganggotai kumpulan
Impression bersama Norman Hakim dan Eizlan Yusof.
Beliau
meletakkan tekad untuk merubah tahap kehidupannya dengan berniaga
sendiri.Beliau bermula dengan membuka bengkel membaiki kenderaan di beberapa
tempat seperti Kuala Lumpur dan Terengganu dan seterusnya mencuba perniagaan
dalam bidang pengangkutan iaitu bas yang sememangnya menjadi minatnya.
“Ketika zaman
sekolah, saya bersekolah di Kuala Terengganu dan keluarga pula di Kampung Baru,
Kuala Lumpur. Apabila berpeluang pulang ke Kuala Lumpur saya memilih bas sebagai
pengangkutan”.
“Boleh dikatakan
rutin saya ketika bercuti hanya menaiki bas dan tidur di atas bas. Jika ada
cuti sehari sekalipun, malam saya naik bas ke Kuala Lumpur dan pada malam
keesokan harinya saya pulang ke Kuala Terengganu,” menurutnya lagi.
Ketika memulakan
perniagaan dalam bidang pengangkutan, pelbagai cabaran getir terpaksa ditempuh
dan beliau perlu bekerja keras sehingga terpaksa tidur di pejabat.Pada 2003
Sani menubuhkan SUSB khusus untuk perniagaan pengangkutan itu.“Ketika itu saya
bersama dua lagi rakan kongsi. Namun tidak lama kemudian dua rakan itu menarik
diri, menyebabkan saya terkontang-kanting seorang diri. Keadaan ketika itu
memang getir,” katanya.Beliau terpaksa berhati-hati kerana sebarang keputusan
dibuat adalah tanpa dirujuk kepada sesiapa.
“Ketika ada dua
rakan kongsi itu, saya boleh merujuk kepada mereka, tetapi apabila seorang
diri, saya perlu membuat keputusan sendiri.Jika tersilap membuat keputusan,
memang saya akan jatuh. Justeru sebelum membuat keputusan, saya fikir 10 kali,”.
Sani berkata,
ketika itu beliau hanya ada seorang pekerja dan dengan menggunakan sepenuhnya
kudrat dan buah fikirannya, segala perancangan untuk memulakan operasi bas
ekspres yang diimpikannya hanya menampakkan hasil selepas tiga tahun bertungkus
lumus dan modal daripada institusi kewangan.beliau menanggung risiko besar
kerana pinjaman yang dibuat, tetapi beliau berani dan yakin dengan apa yang
dibuat.
“Bayangkan jika
apa yang saya buat tidak menjadi. Bagaimana saya dapat melunaskan pinjaman
dalam jumlah besar itu?Apapun pada Januari 2006 Sani Express ada di jalan raya
dan alhamdulillah perjalanan perniagaan ini lancar, mendapat sambutan dan sejak
itu perniagaan saya semakin pesat berkembang,”.
Sani membuktikan
‘jalan’ dipilihnya berbaloi kerana hanya dalam tempoh tiga tahun Sani Express
menunjukkan prestasi luar biasa.Daripada seorang pekerja, Sani kini mempunyai
150 kakitangan sendiri. Daripada pejabat kecil di Ukay Perdana, Sani kini ada
wisma sendiri yang dibeli dan diubahsuai dengan belanja mencecah RM 7
juta.Wisma tiga tingkat dinamakan Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral itu serba
lengkap. Selain menjadi pusat operasi, wisma itu dilengkapi asrama, pusat
latihan dan surau.Paling menarik, segala operasi di kaunter tiket Sani Express
di setiap negeri dipantau secara langsung menerusi kamera litar tertutup yang
dipancarkan terus ke wisma berkenaan.
Menurut Sani,
selain minat, antara faktor kejayaannya adalah sikapnya yang tidak malu
bertanya dan belajar daripada sesiapa saja.
“Saya bukan
sekolah tinggi sangat. Saya belajar daripada orang berpengalaman, malah dengan
sesiapa saja. Dengan pemandu bas saya belajar, dengan mekanik saya belajar,
malah dengan orang yang pernah gagal juga saya belajar kerana kegagalan itu
akan saya jadikan iktibar.Daripada situ kita dapat ilmu, malah sampai sekarang
saya masih belajar. Saya buat analisis dan kajian sendiri, baru kita boleh
kendalikan perniagaan dengan baik,”.
Statusnya
sebagai orang bujang juga banyak memberi kelebihan kepadanya.Beliau belum
berkeluarga dan mampu memberi tumpuan 100 peratus kepada perniagaan.
“Setakat bekerja
keras dari siang hingga tengah malam, ia ibarat alah bisa tegal biasa,” katanya
yang menganggap pengalaman menjadikan bas ekspres sebagai pengangkutan utamanya
dulu turut menjadi faktor kejayaannya.”Dari dulu saya guna pengangkutan awam
(bas ekspres), jadi saya tahu apa yang pelanggan nak dan saya gunakan
pengalaman itu ketika menguruskan Sani Express.
“Selain itu saya
mengambil berat setiap jawatan yang ada di syarikat ini, daripada kerani kaunter
hinggalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Ini kerana jika satu saja jawatan
tidak berfungsi dengan baik, operasi syarikat akan terganggu,” katanya yang
mesra dengan kakitangannya.Sani berkata, tanpa keberkatan dan doa juga, tidak
mungkin beliau berjaya.
“Apa jua perkara
yang kita lakukan, kita kena berpegang kepada agama. Buat apa yang disuruh dan
tinggalkan apa yang dilarang.Doa juga penting dan dalam hal ini ibu saya
Sharifah Aini Syed Ibrahim Jamalulai sering mendoakan saya, begitu juga ayah
saya. Kita juga perlu ingat kepada orang yang pernah membantu kita,”
Rujukan :